ASSALAMUALAIKUM W.B.T
19 Zulhijjah 1437H
21 September 2016
90 hari selepas pemergianmu..
IBU
maafkan kesalahanku
maafkan amarahku,
maafkan kenakalanku
maafkan aku atas airmatamu
engkaulah sumber inspirasiku
engkaulah semangatku
engkaulah syurgaku
|
doamu senjataku
doamu membawa kepada kejayaanku
doamu membuatkan ku bahagia
doamu menjadikanku insan berguna
Kasih sayang seorang ibu kepada anaknya tidak akan terbalas dan tidak akan ternilai dengan apa pun. Perjuangannya sangat luar biasa.
Ketulusan dan kesabarannya dalam menjaga seorang anak sejak dari dalam kandungan hingga anak tersebut dewasa tidak akan tergantikan.
Ibu,
rela mempertaruhkan nyawanya hanya untuk kehidupan si anak.
Ketika melahirkan,
nyawa diletakkan dihujung rambut, bertarung maut demi kelahiran anaknya.
Ibu,
doanya tidak pernah terputus untuk seorang anak sejak dalam kandungan lagi.
selalu berharap dan memohon kepada Allah agar anaknya menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.
Siapa lagi yang memberi kasih sayang yang paling mendalam dan pengorbanan yang paling tinggi dalam hidup seorang anak, selain ibu?
Itulah kasih sayang yang Allah pinjamkan ke dalam hati seorang ibu, kasih sayang yang hebat, dari Yang Maha Pengasih lagi Penyayang.
Rasulullah ﷺ perintahkan memuliakan ibu sebanyak tiga kali, kemudian bapa, menunjukkan betapa penting dan beratnya penekanan Rasulullah agar anak-anak memulia dan melayan ibu sebaik-baiknya.
Hinggakan Rasulullah ﷺ meletakkan kedudukan ibu itu selepas keutamaan solat, dan di atas dari jihad.
Dari Abu Abdirrahman yaitu Abdullah bin Mas'ud r.a., katanya: Saya bertanya kepada Nabi ﷺ: "Manakah amalan yang lebih tercinta disisi Allah?"
Beliau menjawab: "Iaitu solat menurut waktunya."
Saya bertanya pula: "Kemudian apakah?" Beliau menjawab: "Berbakti kepada orang tua."
Saya bertanya pula: "Kemudian apakah?" Beliau menjawab: "berjihad fisabilillah." (Muttafaq 'alaih)
Adakah seorang insan selain ibu sanggup menggadai nyawanya sebagai taruhan melahirkan kita? Setelah kelahiran,
ibu tidak terus sihat, tidak bermaya, keletihan dan sakit kerana melahirkan...
tetapi,
bila dengar tangisan si anak, hilang segala keletihan dan kesakitan.
Setelah kita dilahirkan,
bermula satu lagi episod pengorbanan ibu.
berjaga sepanjang malam untuk menyusukan, melayan tangisan kerana kebasahan kencing atau kelaparan.
Ibu,
ketika badan si anak penuh najis kerana kencing dan berak,
ibu menghadiahkan ciuman kepada anaknya. Mengapa anak dalam keadaan busuk itu dicium juga? Kerana di hati ibu ada cinta yang amat mendalam.
Berapa kali kejadian ini berlaku?
berulangkali, berkali-kali...kerana ibu mengorbankan masa tidur dan rehatnya demi menjaga si anak agar tidak basah, tidak lapar atau diganggu nyamuk.
Hebatnya kasih sayang dan pengorbanan seorang ibu...
pastinya tidak terhenti di situ...
sepanjang hayatnya ibu tetap berkorban dan menyayangi anak-anaknya.
Dia terus berkorban memandaikan si anak, mendidik anak, bukan sekadar makan dan pakai sahaja.
Terlalu banyak jasa ibu. Pengorbanan dan kasih sayang ibu dikenang hingga ke Akhirat.
Seorang anak perlu ingat pesanan ini:
dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). (Al-Isra':17:23)"Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka ucapan yang Mulia."
Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.